Welcome Guest [Log In] [Register]
This article has been challenged by a newbie named Raja Adley Paris Iskandar Shah bin Raja Baharudin on its truthness. Please refer to the original topic to see the dispute. Thank you



SEJARAH BATU KURAU


Batu Kurau merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 Km dari Bandar Taiping.
Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping).

Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.

Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani seperti di bawah :

Ayun pak pek pak pong,
Gulai asam pedas,
Pakai baju tampung,
Lenggang bagai duras,
Duras buaya kampung,
Hilir-hilir mudik,
Mana kampung kita,
Balik sana bukit!

Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.

Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.

Nama-nama Penghulu mukim Batu Kurau dari zaman dahulu hingga sekarang adalah seperti berikut :

  1. Tok Amar Wan Kasa B. Raja Hulubalang Petani (1859-1867)
  2. Wan Musa B. Tok Amar Wan Kasa (1868-1881)
  3. Tok Semanggik B. Wan Musa (1882-1887)
  4. Wan Teh Safiah Bt.Wan Ismail (1888-1889)* Satu-satunya Penghulu kaum wanita
  5. Mohd. Ali B. Tok Amar Wan Kasa (1890-1895)
  6. Hj. Mohd. Noh B. Laksamana Mohd. Amin (1896-1897)
  7. Hj. Mohd. Saman B. Hj. Mohd. Amin (1898-1901)
  8. Raja Chik Abd. Hamid B. Raja Hj.Yahaya;Tok Muda Imam Paduka Tuan (1902-1904)
  9. Raja Hj.Yahaya B. Raja Syed Mohd. Ali (1905-1907)
  10. Raja Shahbuddin B. Raja Dagang; Tok Seri Rakna (1908-1910)
  11. Hj. Abdullah Ali B. Retam; Tok Perdana (1911-1913)
  12. Mohd. Sulaiman B. Salleh (1914-1919)
  13. Mohd. Sajak B. Pandak; Tok Rakna Sakti (1920-1930)
  14. Pandak Abd. Karim B. Doya; Tok Rakna Bongsu (1931-1936)
  15. Mat Piah B. Abdullah (1937-1946)
  16. Hj. Wan Abd. Manan B. Hj. Wan Abu Bakar (1947-1953)
  17. Raja Sulaiman B. Raja Abdullah (1954-1960)
  18. Meor Mohd. Yusoff B. Hj. Meor Hamzah (1961-1962)
  19. Raja Ismail B. Raja Ahmad Tajuddin (1963-1969)
  20. Megat Amir B. Megat Yahia (1969-1971)
  21. Wan Abdullah B. Wan Im (1972-1974)
  22. Abd. Aziz B. Hj. Rafie (1975-1979)
  23. Zolkapli B. Adnan (1980-1987)
  24. Hj.Tun Yaacob B. Hj.Tun Abd. Raffar (1988-1993)
  25. Zolkapli B. Adnan (1994-2006)
  26. Zulkhalil B. Hj. Ahmad Razali (2007)


Batu Kurau mempunyai 21 buah kampung dengan Ketua Kampung masing-masing:

  1. Kampung Batu 14
  2. Kampung Batu 15
  3. Kampung Batu 16
  4. Kampung Batu 20
  5. Kampung Pantai Besar
  6. Kampung Sungai Ara
  7. Kampung Gudang
  8. Kampung Relang
  9. Kampung Jelai
  10. Kampung Air Hitam
  11. Kampung Pondok Quin
  12. Kampung Bukit Bertam
  13. Kampung Changkat Perah
  14. Kampung Titi Kasai
  15. Kampung Jabi
  16. Kampung Repoh
  17. Kampung Sempeneh
  18. Kampung Anak Kurau
  19. Kampung Perak
  20. Kampung Ulu Sepetang
  21. Kampung Pondok Tanjung


  22. Selain itu, ia juga mempunyai beberapa buah kampung kecil yang lain di bawah seliaan Jawatan Kuasa Kerja Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung masing-masing.


    ~Dato' SiteBouncer~
This Skin was Created by SickforGaborik/Meow of Signature Sports